3,000 suntikan dos pertama di BCCK

KUCHING: Proses pemberian vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam lancar, dengan 3,000 penerima suntikan dos pertama.

Ketua Komandan PPV bagi suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca di BCCK, Dr Cheong Yaw Liang berkata, menerusi proses pemberian vaksin di PPV BCCK, proses suntikan vaksinasi bermula 7 Jun lalu hingga 27 Julai depan.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan pelaksanaan proses vaksinasi di BCCK ini kerana pada 9 Jun lalu, ia melibatkan 1,005 penerima. “Manakala hari ini (semalam),  kapasiti ini ditingkatkan dan telah melibatkan sekitar 3,000 orang yang divaksin,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau proses pemberian vaksin AstraZeneca di BCCK, semalam.

Sementara itu, Dr Cheong menjelaskan bahawa PPV di BCCK ini turut menyediakan kemudahan yang sangat selesa dan teratur bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar. Jelasnya, terdapat dua pintu masuk dibuka kepada penerima vaksin di BCCK ini iaitu HCOA dan HCOB.

“Antara syarikat yang bertugas menjaga dua pintu ini ialah Public Medicare Group (PMG) yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan suntikan HCOA manakala suntikan HCOB dikendalikan oleh Borneo Medical Centre (BMC).

“Jika hanya sebuah syarikat yang menjaga susun atur di PPV ini, sudah pasti ia mengalami kesukaran. Oleh itu kita sediakan dua syarikat bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” jelasnya.

Pada masa sama, Dr Cheong turut menyeru kepada masyarakat awam agar membuat pendaftaran untuk menerima vaksin kerana ia sangat penting bagi kerajaan memutuskan penularan wabak Covid-19 ini.

“Tidak kira apa jenis vaksin yang diterima, semua vaksin tersebut adalah baik bagi mencegah penularan wabak  Covid-19 ini.

“Justeru itu, semua masyarakat perlu membuat pendaftaran awal secepat mungkin untuk menerima suntikan ini,” katanya.  Ujar Dr Cheong lagi, bagi individu yang mengalami masalah fizikal yang perlu melakukan perjalanan Kuching Life Care Society akan menyediakan perkhidmatan ambulans percuma sehingga 27 Julai depan.

Suara Sarawak