301,451 bantuan bakul makanan diagihkan seluruh negara sehingga semalam – Rina

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga semalam telah mengagihkan sebanyak 301,451 bantuan bakul makanan di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 1.2 juta isi rumah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata bantuan bakul makanan yang diserahkan ini adalah daripada aduan yang telah diterima daripada bilik gerakan JKM negeri, rujukan pemimpin masyarakat dan aduan melalui Talian Kasih.

“Bantuan bakul makanan ini menyasarkan kumpulan rakyat yang terkesan secara langsung, khususnya mereka yang terhenti pendapatan harian dalam mendapatkan bekalan harian,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk di Flat Kos Rendah Taman Bukit Mewah, dekat Kajang hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail.

Jelas Rina lagi, pengagihan pek makanan keperluan asas itu telah mula diagihkan pada awal April lepas (fasa pertama) membabitkan 108 daerah di seluruh negara dan kini ia sudah memasuki fasa kedua pengagihan.

Sementara itu, ibu tunggal kepada tujuh anak, M Meenachi, 51, melahirkan rasa bersyukur atas pemberian bantuan itu, yang baginya ia adalah keperluan pada saat beliau tidak mempunyai pekerjaan kini.

“Sekarang saya ada (penyakit) asma jadi sudah berhenti kerja, susah nak beli barang keperluan, sekarang ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi orang datang bagi pada saya sendiri, saya amat hargai,” katanya.

Seorang lagi penerima, Alinor Abu Hassan, 55, berkata pemberian keperluan asas seperti beras dan susu ini amat bererti dan sudah cukup baginya sekeluarga sewaktu PKP ini.

Suara Sarawak