KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) terus memperkukuh pembangunan awal kanak-kanak bagi memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti dan peluang perkembangan yang inklusif sejak kecil.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata usaha itu dilaksanakan menerusi rangkaian Tadika dan Taska SeDidik di bawah SFS Incorporation bagi menyediakan pendidikan awal berkualiti kepada kanak-kanak di seluruh negeri ini.

“Pada masa ini, SeDidik mengendalikan 110 pusat yang menyediakan perkhidmatan kepada 3,050 kanak-kanak dengan sokongan 180 pendidik yang memiliki Diploma dalam bidang Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE).
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya mewakili setiap kanak-kanak yang sedang membesar, keluarga yang menaruh harapan serta pendidik yang berperanan membentuk masa hadapan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jangkauan Kesedaran ECCE Inklusif Siri 2/2026 di Dewan Kompleks Hikmah, Jalan Pustaka, di sini, hari ini.
Beliau berkata, selaras dengan aspirasi Tiada Kanak-Kanak Ketinggalan (No Child Left Behind), SeDidik mengamalkan dasar pintu terbuka bagi membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas belajar bersama-sama rakan sebaya dalam persekitaran inklusif.
“Sejak 2020, seramai 851 kanak-kanak berkeperluan khas telah mendapat manfaat daripada pendekatan ini, manakala 486 warga kerja SeDidik telah diperkasakan menerusi latihan berkaitan pendidikan khas.
“Usaha ini satu langkah penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menerima kepelbagaian serta menghormati keperluan setiap kanak-kanak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rosey memaklumkan bahawa usaha pengesanan awal perkembangan kanak-kanak turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan TOY8, sebuah syarikat teknologi kesihatan berasaskan kecerdasan buatan dari Jepun.
Menurutnya, seramai 356 pendidik dan pembantu pendidik SeDidik telah dilatih menggunakan sistem saringan digital, manakala 2,198 kanak-kanak telah menjalani saringan awal.
“Pengesanan awal amat penting bagi membolehkan keperluan seseorang kanak-kanak dikenal pasti dan sokongan bersesuaian diberikan secepat mungkin. Kita mahu memastikan ibu bapa mendapat maklumat, bimbingan dan sokongan yang diperlukan tanpa perlu menunggu terlalu lama,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, Rosey memberitahu bahawa Pusat Intervensi Awal Bersepadu (OSEIC) Sarawak telah menyediakan perkhidmatan intervensi awal kepada 3,097 kanak-kanak sejak penubuhannya, dengan 695 kanak-kanak masih mengikuti program berkenaan setakat September 2026.
Katanya, sejak 2022, seramai 518 kanak-kanak berjaya menamatkan program intervensi, dengan 145 daripadanya memasuki aliran perdana, 303 mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 70 lagi melanjutkan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK).
Jelasnya, ketika ini, OSEIC beroperasi di Kuching dan Dalat, manakala pusat ketiga di Miri dijadualkan mula beroperasi pada November 2026.
“Justeru, usaha memperkukuh pendidikan awal dan intervensi inklusif memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, ibu bapa, pendidik dan komuniti bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat sokongan yang diperlukan untuk berkembang mengikut potensi masing-masing,” tegasnya.





