31 daerah status hijau

KUCHING: Sarawak berjaya menjadikan 31 daripada 40 daerah di negeri ini berstatus hijau, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, ia merupakan usaha bersungguh-sungguh petugas barisan hadapan dan disiplin semua rakyat Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakankan.

“Kami berjaya menjadikan 31 daripada 40 daerah di negeri ini berstatus hijau. Kawasan-kawasan ini tidak mencatat sebarang kes positif Covid-19 terbaharu dalam tempoh 14 hari,” katanya pada Persidangan Dun Sarawak di sini, kelmarin.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19. “Sehingga hari ini, terdapat 17 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan sejak kes pertama positif pada 13 Mac lalu.

“Saya berharap rakyat Sarawak terus berdoa mengikut agama masing-masing supaya usaha membendung wabak Covid-19 ini dirahmati, diberkati dan situasi dapat ditangani serta berakhir dengan segera,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas kepemimpinan beliau dalam memberikan khidmat nasihat, sokongan dan pandangan dalam memastikan situasi Covid-19 di Sarawak berada dalam keadaan ter-kawal.

“Kepada semua ahli kabinet dan Yang Berhormat, terima kasih diucapkan kerana banyak memberi sokongan dan buah fikiran bagi samasama membantu mengekang penularan wabak ini.

“Juga kepada seluruh jentera JPBN di peringkat negeri, bahagian dan daerah yang sama-sama bertungkus-lumus dalam memastikan pengurusan di peringkat masing-masing berjalan dengan lancar dan teratur,” ujarnya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan yang banyak berkorban sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan rakyat negeri Sarawak terselamat daripada wabak Covid-19.

“Saya juga berterima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak dari Lundu hingga ke Lawas yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga memudahkan petugas barisan hadapan menangani krisis ini.

“Tidak dilupa juga kepada semua penderma dari dalam dan luar negeri yang menyumbang dalam bentuk tunai dan peralatan bagi memastikan keperluan mengurus wabak ini tidak terputus,” jelasnya.

Suara Sarawak