MANILA: Sekurang-kurangnya 31 orang maut manakala 230 lagi terselamat dalam insiden kebakaran feri MV Lady Mary Joy 3 di sekitar kepulauan Filipina.
Difahamkan, Lady Mary Joy 3 dalam perjalanan menuju ke Bandar Zamboanga dari Jolo apabila feri itu terbakar di perairan Pulau BalukBaluk di bandar Hadji Muhammad wilayah Basilan pada Rabu, 10 malam waktu tempatan.
Mengutip Bangkok Post, pasukan penyelamat termasuk pengawal pantai dan nelayan Filipina pada menyelamatkan 195 penumpang dan 35 kru feri tersebut.
Sebelum ini laporan mengatakan rangka feri itu ditunda ke pantai Basilan, dengan pengawal pantai dan pihak berkuasa lain menemui 18 mayat di bahagian penumpang kelas ekonomi menurut Gabenor Basilan, Jim Salliman.
Mayat itu ditemui di dalam kabin berhawa dingin semasa pencarian diteruskan di feri itu.
“Orang ramai panik kerana mereka sedang tidur ketika kebakaran berlaku,” kata Pengawal Pantai Filipina, Rejard Marfe memetik saksi.
Ketika api merebak, kapten kapal berusaha mengawal feri tersebut untuk memudahkan penumpang berenang ke pantai, menurut Marfe.
Laporan awal pula mengatakan 14 mangsa cedera manakala tujuh lagi masih hilang.
Menurut Salliman, lebih ramai yang dijangka hilang memandangkan jumlah penumpang feri melebihi 205 orang yang disenaraikan dalam feri tersebut.
“Mungkin ada penumpang yang tidak mendaftar secara sah ketika menaiki feri tersebut,” katanya.
Kemalangan di laut adalah perkara biasa di kepulauan Filipina kerana kerap diancam ribut, bot tidak diselenggara dengan baik, kesesakan dan penguatkuasaan peraturan keselamatan yang longgar terutama di wilayah terpencil.
Pada Disember 1987, feri Dona Paz karam selepas berlanggar kapal tangki bahan api, mengakibatkan lebih 4,300 orang terkorban dan ia dianggap bencana maritim terburuk di dunia.