MUKAH: Seramai 3,139 pelajar di Bahagian Mukah telah mendapat manfaat menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), manakala jumlah yang sama turut direkodkan bagi pelajar yang telah dilatih melalui program kemahiran CENTEXS di bahagian ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkembangan itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperluas akses pendidikan tinggi dan latihan kemahiran kepada anak tempatan.
“Skim ini telah berjaya memastikan tiada anak yang tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan disebabkan oleh kekangan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah yang disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dataran Pehin Setia Raja, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, CENTEXS Mukah dan Dalat masing-masing menawarkan 18 dan 16 program kemahiran, termasuk dalam bidang minyak dan gas serta Sistem Pengendalian Robot (ROS).
Menyentuh mengenai pendidikan tinggi di Bahagian Mukah, katanya, ia diperkukuh menerusi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Kampus Laila Taib Mukah yang dilengkapi kemudahan teknologi marin dan maritim bagi memenuhi keperluan industri perkapalan di Tanjung Manis dan Bahagian Sibu.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada pendidikan awal kanak-kanak menerusi Geran Tahunan Khas sebanyak RM5,000 setahun kepada TASKA dan TABIKA berdaftar.
“Sebanyak 127 TASKA dan TABIKA di Bahagian Mukah telah mendapat manfaat bantuan ini bagi membaiki kerosakan kecil serta menyediakan bahan pembelajaran,” katanya lagi.
Sementara itu, pencapaian pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) turut menunjukkan peningkatan apabila kadar kelulusan meningkat daripada 76 peratus pada 2025 kepada 86 peratus pada 2026.
Peningkatan itu direkodkan berdasarkan penyertaan 859 pelajar pada 2025 dan 892 pelajar pada 2026 daripada tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), iaitu PPD Mukah, PPD Dalat dan PPD Daro.
“Ini menunjukkan bahawa anak di Bahagian Mukah mempunyai potensi dan keupayaan untuk melibatkan diri dalam bidang sains dan teknologi,” tambahnya.



