
KUCHING: Sebanyak 32 pasukan sekitar Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian bakal berentap dalam kejohanan bola sepak lelaki terbuka Piala Klanying Buyo 2022.
Sepak mula bagi kejohanan ini akan berlangsung di Stadium Siburan, bermula 20 Februari ini sementara aksi final akan berlangsung pada 24 April depan.
Menurut pengerusi penganjur Piala Klanying Buyo 2022 Jonny Awas, kejohanan yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari kalangan kaki bola.
Malah katanya, kejohanan tersebut boleh dijadikan medan buat bakat-bakat tempatan mempamerkan kemahiran dan bakat mereka.
“Kejohanan ini akan mencungkil bakat-bakat para pemain terutamanya anak-anak muda di samping mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan yang negatif,” katanya kepada Suara Sarawak selepas cabutan undi Piala Klanying Buyo 2022, di sini hari ini.
Justeru, beliau berharap kejohanan dapat berjalan dengan lancar dan pasukan-pasukan yang bertanding mempamerkan semangat kesukanan yang baik.
Mengulas lanjut mengenai format pertandingan, Jonny menjelaskan setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftar seramai 18 pemain dalam kejohanan 11 sebelah tersebut.
Katanya, seramai tujuh pertukaran pemain dibenarkan semasa perlawanan yang berlansung 30 minit untuk separuh masa pertama dan masa kedua.
Tambahnya, aksi final kelak, kedua-dua finalis akan beraksi selama 45 minit untuk kedua-dua fasa perlawanan.
Johan bagi Piala Klanying Buyo 2022 akan membawa pulang piala pusingan dan piala iringan, medal serta wang tunai RM3,000 manakala naib johan pula akan menerima piala, medal serta wang tunai RM2,000.
Sementara tempat ketiga turut membawa pulang piala, medal dan wang tunai RM1,000 manakala tempat keempat akan menerima medal dan wang tunai RM500.
Selain itu, penjaring terbanyak kejohanan turut menerima piala manakala pemain terbaik juga akan membawa pulang piala.
