
KUCHING: Sebanyak 32 pasukan akan berentap bagi memburu gelaran juara Kejohanan Futsal Piala Abam 2022 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri dari 22 hingga 24 Julai ini.
Penasihat Kejohanan Muliadi Awang Matsri memberitahu, kejohanan selama tiga hari itu menghimpunkan pemain yang mempunyai berat badan 75 kilogram ke atas.
“Kesemua pasukan yang bertanding adalah dari sekitar Miri. Dijangka pertandingan ini akan menarik dan hebat meskipun mempunyai saiz badan berbeza,” ujar Muliadi kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menambah, format kejohanan adalah secara liga kumpulan dengan pasukan teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan kalah mati.