SELAMA 32 tahun mencanting batik, menyiapkan baju Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merupakan pengalaman paling manis buatnya. Pengusaha batik lukis Helmi Chik, 49 dari Samariang Jaya Fasa 2 Kuching berkongsi perasaan gembiranya kerana setiap kali sentuhan tangan digayakan oleh orang kenamaan pada acara besar, beliau berasa bangga.
“Saya juga menyiapkan baju Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Malaysia di Miri pada 2019.
“Sekarang saya sedang menyiapkan baju Ketua Menteri kita untuk sambutan Hari Bandar Raya Kuching secara maya nanti,” katanya. Helmi mula berjinak-jinak dalam industri batik sejak berusia 17 tahun dengan menuntut ilmu di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan pada 1990.
Umum mengetahui bahawa sulaman keringkam amat popular di Sarawak namun Helmi memilih batik walaupun penglibatannya sekadar bidang terjun.
Namun tak kenal maka tak cinta – setelah tiga dekad dalam bidang berkenaan, Helmi semakin jatuh cinta dengan kesenian batik dan akhirnya menjadi sumber pencarian keluarga.
Malah isterinya Roziana Jalani dan anak-anaknya sering membantu beliau menghasilkan batik.
Bagi bapa kepada enam anak ini, menghasilkan batik mudah jika hari panas kerana ia cepat kering sekali gus menjaga kualiti corak dan kain yang digunakan.
Proses batik bermula dengan mencanting corak mengikut kreativiti pembuatannya.
“Saya selalunya melukis corak batik berasaskan flora dan fauna dan kadangkala buat gaya bebas.
“Kemudian, kain yang digunakan untuk membuat batik dibentangkan pada kayu bagi memudahkan kerja-kerja mewarna,” katanya kepada Suara Sarawak.
Tambah Helmi, selepas mewarna corak batik, proses seterusnya mematikan warna menggunakan lilin dan damar.
Menurutnya, teknik mematikan warna memberi kesan lebih kepada kain batik terbabit serta mengelaknya daripada mudah luntur.
Katanya, ia merupakan teknik inovasi dan jarang pengusaha tahu menggunakannya.
“Selepas mematikan warna, saya menunggu kain dan warna kering. Pada masa inilah, cuaca panas amat diperlukan.
“Selepas kain kering, maka proses seterusnya mencuci dan merebus kain batik itu untuk menanggalkan lilin sebelum dijahit dijadikan baju kemeja,” jelasnya.
Helmi memberitahu, beliau mendapatkan bahan mentah seperti kain daripada pembekal melalui Koperasi Batik manakala damar dan lilin dari Kuala Lumpur.
“Sukar mendapatkan bahan mentah batik di Sarawak kerana ia bukan budaya kita seperti keringkam.
“Malah, waktu pandemik ini, banyak bekalan batik saya terkandas di Semenanjung Malaysia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya.
Katanya lagi, pendapatan beliau waktu pandemik turut merundum kerana tidak banyak acara rasmi diadakan.
“Saya mengambil tempahan baju batik dan baju kurung batik daripada badan korporat untuk acara rasmi terutamanya yang dihadiri oleh menteri.
“Namun, sejak Covid-19 melanda, pendapatan saya menurun. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana semua orang turut terkesan,” tegasnya.
Sebelum Covid-19 melanda, beliau pernah menerima tempahan 200 helai kain batik sempena Sukan Malaysia (Sukma) pada 2016.
Menurutnya, pada Hari Malaysia yang diadakan di Miri pada 2019, beliau menerima 100 helai batik yang siap dijahit.
“Selain menjadi sumber pendapatan, saya amat seronok apabila batik yang saya hasilkan digayakan oleh menteri, ketua menteri serta perdana menteri.
“Saya juga seronok dengan kotej industri ini kerana tidak terikat dengan waktu,” katanya. Lazimnya kata Helmi, beliau membuat banyak reka rentuk dari segi corak yang akan dipilih oleh badan korporat mengikut kesesuaian tema mereka.
Menurutnya, teknik pembuatan batik secara konvensional iaitu ikat dan celup bukan dianggap sebagai batik. “Ini kerana 30 peratus warna perlu menembusi kain batik berkenaan.
“Saya sangat bersyukur Kini, selepas sektor ekonomi dibernarkan dibuka saya sangat bersyukur dan telah menerima tempahan membuat batik untuk sambutan Hari Bandar Raya Kuching,” katanya.
Dalam sehari beliau boleh menghasilkan kira-kira enam helai batik yang bergantung kepada keadaan cuaca.
Dari segi pencapaian pula, Helmi sering menerima anugerah di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia dan pernah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Piala Seri Endon pada 2007.
Beliau turut menerima penempatan pelajar latihan industri pelbagai institusi pengajian tinggi terutamanya bagi program seni halus.
Sehelai batik beliau menjual pada harga RM60 dan RM100 bagi wanita bagi jenis kain kapas.
Mereka yang berminat dengan baju bercorak batik boleh menghubungi Helmi di talian 011-21483872 atau 011-10066184