SARIKEI: Seorang penganggur dicekup memiliki dadah dipercayai jenis ganja di Jalan Alamanda Kampung Seberang di sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt Awang Alfian Awang Bujang berkata, tangkapan itu hasil operasi mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah di Bahagian ini.
Menurutnya, dadah yang dirampas adalah seberat 331.3 gram dan dianggarkan bernilai pasaran RM1,500. “Bertindak atas maklumat dan risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkortik Daerah Sarikei melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Alamanda kirakira jam 10.30 pagi.
“Hasil serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah tersebut,” katanya kepada media.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik itu, pihaknya menemui sebuah beg kecil berwarna hitam dan berzip merah diletakkan di atas sebuah almari kayu.
“Polis menemui satu ketulan mampat daun daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 331.3 gram. “Suspek juga positif dadah hasil saringan air kencing ke atasnya,” katanya.
Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman mati jika sabit kesalahan.