332 tangkapan aktiviti penyalahgunaan dadah di Kuching sepanjang PKP

KUCHING: Daerah Kuching merekodkan sebanyak 332 tangkapan aktiviti penyalahgunaan dadah berjumlah RM55,082.00 nilai rampasan dadah pelbagai jenis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan sehingga 15 Jun, tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, jumlah tersebut sekaligus menunjukkan statistik peningkatan jumlah kes berbanding hari sama pada tahun 2019.

“Rekod tangkapan menunjukkan kesalahan tertinggi di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 sebanyak 199 kes, diikuti Seksyen 12(2) ADB 1952 sebanyak 86 kes dan 31 kes di bawah Seksyen 39A(1).

“Manakala tiga jenis dadah tertinggi berjaya dirampas merangkumi Ketamine seberat 318.04 gram bernilai RM47,706.00, diikuti serbuk ecstasy seberat 282.28g bernilai RM2,823.00 dan ganja(181.85g) bernilai RM1,819.00,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beberapa modus operandi (MO) yang digunakan oleh pengedar dadah di kawasan Kuching turut dikenal pasti.

Dedahnya, antara MO yang lazim digunakan adalah pembelian secara langsung, bank in, dan parcel dalam kegiatan jual beli kegiatan berkenaan.

Susulan itu, tegasnya, tindakan memerangi dadah tetap diteruskan dan tanpa sebarang kompromi berikutan pihaknya turut memberkas empat penjawat awam setiap hari sepanjang tempoh statistik kajian operasi dijalankan.

Awang Din dalam kenyataannya turut mendedahkan segelintir golongan yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah beranggapan bahawa pengambilan dadah merupakan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada masyarakat agar memberhentikan stigma tersebut dan membantu pihak polis menumpaskan kegiatan terbabit daripada terus berleluasa.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah diminta untuk menghubungi dan melaporkan kejadian di talian 012-2087222 atau berhubung terus ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching di talian 082-332751.