KUCHING: Seramai 31 warga asing termasuk tiga orang tempatan dipercayai anggota sindiket perjudian atas talian ditangkap dalam serbuan berasingan ke atas dua buah rumah di sekitar bandaraya ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong, semua mereka berumur antara 18 hingga 34 tahun.

“Kedua-dua tempat menjalankan judi Chipsmore, Mamee, Disney, VP, DTG dan Starwin, dengan kutipan sebulan dianggarkan RM700,000 hingga RM800,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Debis berkata serbuan pertama dijalankan oleh pasukan JSJ Sarawak terhadap sebuah rumah di Lot 3643 Jalan Kong Ping sekitar jam 10.40 pagi Rabu lalu.

“Seramai 18 orang ditangkap iaitu 14 lelaki dan empat perempuan yang terdiri daripada tiga orang tempatan dan 15 warganegara Indonesia,” katanya.

Selain itu, katanya sebanyak sembilan unit komputer, 18 telefon bimbit turut dirampas dari pusat perjudian atas talian terbabit, yang dipercayai sudah beroperasi lebih kurang dua bulan.

Denis berkata pasukan yang sama kemudian membuat serbuan susulan ke atas sebuah rumah di SL 13 lot 280-285 Lotak Villas Jalan Stephen Yong sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, seramai 16 orang terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita yang semuanya warga asing telah ditahan.

Turut dirampas enam unit komputer dan 12 telefon bimbit dari pusat judi atas talian itu, yang juga dipercayai sudah beroperasi selama dua bulan.

Bagaimanapun, katanya tiada rampasan wang tunai daripada pusat judi atas talian itu.

Anggota sindiket perjudian atas talian yang dicekup pasukam JSJ Sarawak ketika beroperasi di dua buah rumah berasingan di Kuching.