34 individu dikompaun RM1,000 ingkar SOP di Kuching

KUCHING: Seramai 34 individu termasuk dua warga asing dikenakan denda kompaun RM1,000 akibat tidak mematuhi prosuder operasi standard(SOP) di tempat awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, tindakan tersebut diambil susulan pemeriksaan pasukan pemantau khas daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di lokasi awam termasuk kawasan Tebingan Kuching, pusat hiburan dan juga premis makanan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat awam terbabit mendapati kesemua individu itu berkumpul secara beramai-ramai tanpa mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

“Operasi pemantauan semalam pada awalnya mencekup seramai 20 orang di kawasan lapangan Square Tower, Tebingan Kuching.

TAHAN… sekumpulan individu yang berkumpul di tempat awam terus dicekup dan diberikan notis kompaun RM1,000

“Lokasi kedua di premis makanan telah mengenakan kompaun RM1000 kepada 14 individu yang terdiri daripada seorang penjaga premis, seorang pemilik premis, dan 12 orang pelanggan.

“Seterusnya, serbuan ke atas pusat hiburan di Jalan Petanak turut menahan dua wanita warga asing yang didapati tidak mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan,” tegasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek telah ditahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 manakala kedua-dua suspek warga asing Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959/63(Pindaan 2002).

Susulan itu, katanya, kompaun RM1,000 terbabit perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam tempoh 14 hari.

Dalam pada itu, dedahnya, operasi turut mendapati dua daripada empat premis yang diperiksa didapati gagal menyediakan alat sukat suhu, buku catitan pelanggan, dan cecair sanitasi.

Ujarnya, orang awam khususnya kepada pengusaha premis dan juga pelanggan untuk sentiasa mengikuti serta patuh kepada SOP PKPP terutama sekali isu berkaitan penjarakan fizikal serta penyediaan alat-alat keperluan untuk pencegahan penularan Covid-19 di premis masing-masing.

Suara Sarawak