ARTIKEL

Dua bagasi yang dirampas dari LTAK, yang mengandungi dadah jenis Methaphetamine seberat 34.514 kilogram bernilai RM1,224,800 yang diseludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

34kg syabu bernilai lebih RM1.2 juta dirampas di LTAK

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan pengedaran dadah jenis Methaphetamine seberat 34.514 kilogram bernilai RM1,224,800 yang diseludup masuk ke sini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata kejayaan itu dibuat menerusi dua tangkapan berasingan, masing-masing pada 3 November lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Dua bagasi yang dirampas dari LTAK, yang mengandungi dadah jenis Methaphetamine seberat 34.514 kilogram bernilai RM1,224,800 yang diseludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menjelas lanjut, beliau berkata tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 12 tengah hari, apabila pihaknya menyita sebuah bagasi tidak dituntut selepas semakan awal oleh Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM Sarawak mendapati bagasi berkenaan tiba di LTAK menggunakan penerbangan AK 5210 dari KLIA.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Cawangan Narkotik JKDM Sarawak ke atas bagasi berkenaan membawa kepada penemuan sejumlah 20 paket teh Guan Yi Wang yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan berat lebih kurang 20.336 kilogram dan nilai harga pasaran dianggarkan RM727,200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata Cawangan Narkotik JKDM Sarawak sedang berusaha mengesan pemilik bagasi berkenaan.

Manakala, Taufik berkata tangkapan kedua dibuat kira-kira jam 10 malam, apabila Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM Sarawak menahan dua orang lelaki tempatan yang tiba di LTAK melalui penerbangan AK 5228, Kuala Lumpur – Kuching.

Katanya kedua-dua lelaki terbabit ditahan kerana imej imbasan ke atas dua bagasi yang dibawa oleh salah seorang daripadanya menunjukan tanda positif bahan narkotik.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua bagasi berkenaan membawa kepada penemuan sejumlah 14 paket berwarna hitam dengan cetakan imej ikan yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat kasar 14.178 kilogram bernilai RM497,600,” katanya.

Taufik menambah siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu telah melakukan silang bagasi iaitu masing-masing membawa bagasi yang didaftarkan bukan atas nama sendiri.

Katanya semakan ke atas identiti kedua-dua lelaki berkenaan mendapati, seorang daripadanya berumur 28 tahun tidak bekerja dan seorang lagi berumur 32 tahun mengambil upah sebagai ‘rider’.

Beliau berkata Mahkamah Majistret Kuching telah mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula 4 November 2023 ke atas kedua-dua lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.

Justeru, Taufik berkata modus operandi (MO) bagi kedua-dua kes itu adalah dengan membawa masuk dadah melalui penerbangan domestik dan dibungkus menggunakan
bungkusan serbuk minuman dan cetakan imej ikan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sehubungan itu, Taufik berkata dari Januari hingga Oktober tahun ini, JKDM Sarawak telah merekodkan rampasan sebanyak 212.446 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM4,655,854.

LAIN-LAIN BERITA

SAR hari kelima, bayi 18 bulan belum ditemui

KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dikhuatiri terjatuh dalam sungai Kanowit di Nanga Germai di sini, Ahad lalu

BERITA TERBARU