NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 35 penganut Hindu terbunuh manakala 16 lagi cedera pada Khamis selepas terjatuh ke dalam sebuah telaga di kuil Hindu di India.
Kejadian itu berlaku ketika lantai yang berfungsi sebagai penutup telaga itu runtuh, menyebabkan kumpulan berkenaan terjatuh dalam kejadian di bandar Indore, menurut pihak berkuasa.
“Kami menyelamatkan 18 orang manakala 35 ditemui maut dengan 16 lagi cedera,” kata Ilayaraja T, seorang pegawai tinggi kerajaan tempatan, memberitahu Reuters.
Sekurang-kurangnya 75 tentera dan pasukan penyelamat mengalihkan serpihan, menggunakan tali dan tangga untuk membawa keluar mangsa yang terjatuh ke dalam telaga ersebut.
Siasatan sudah dimulakan dan keluarga mangsa yang terkorban turut diberi pampasan.
Pegawai polis Manish Kapooriya memberitahu AFP bahawa usaha menyelamat diteruskan dan mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan.
Rakaman televisyen turut menunjukkan pasukan kecemasan menggunakan tali dan tangga untuk mencapai mereka yang terperangkap di dalam telaga di wilayah Madhya Pradesh.
Video lain menunjukkan lantai yang runtuh dan palang keluli hancur, dengan anggota polis menggunakan tali untuk menutup kawasan itu.
Kuil di merata-rata India dibanjiri penganut sempena perayaan Ram Navami.