350 pegawai berwibawa alam sekitar dilahirkan

KUCHING: Seramai 350 peserta yang mengikut seminar Pematuhan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005 diiktiraf sebagai Pegawai Berwibawa apabila mendapat enam jam Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).

Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Amirul Aripin berkata, ini selari dengan peruntukan perundangan terkini apabila pihak industri perlu menyediakan Pegawai Berwibawa yang dikehendaki melaksanakan tugas dalam bidang pensijilan.

“Sebagai contohnya apabila industri minyak kelapa sawit memerlukan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) termasuk pengurusan sisanya.

“Berikutan cabaran yang dihadapi minyak sawit di pasaran antarabangsa, MSPO amat penting untuk membukti produk ini mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pematuhan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005 di sebuh hotel terkemuka di sini, hari ini.

1. PRODUK … Kelihatan Amirul Aripin melihat produk yang digunakan untuk menguruskan sisa pembuangan semasa pameran Pematuhan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005 di Kuching, hari in

Tambah Amirul, Malaysia menyokong prinsip ekologi industri bagi mengurangkan pencemaran dan buangan namun pada masa sama mengekalkan peningkatan ekonomi serta suasana perniagaan berdaya saing.

“Pengurusan Buangan Terjadual pula berdasarkan prinsip 4R (mengurangkan, guna semula, kitar semula dan pemulihan) untuk melupuskan buangan di tapak.

“Prinsip ini dapat mengurangkan penggunaan sumber asli dan masalah alam sekitar serta memanjangkan usia tapak pelupusan sedia ada,” jelasnya.

Malah, katanya, seminar ini diadakan ekoran permintaan tinggi daripada pihak industri di Sarawak dalam usaha menguruskan sisa secara mampan bersempena dengan Hari Bumi Sedunia yang disambut setiap 23 April.

“Kesan utama pelupusan haram buangan terjadual boleh menyebabkan pencemaran kepada alur tanah, air bawah tanah, atmosfera, kesihatan serta mencetuskan kebakaran.

“Kita turut dikejutkan dengan insiden pembuangan sisia kimia secara haram di Sungai Kimkim di Pasir Gudang Johor pada 7 Mac lalu apabila menyebabkan mangsa terhidu sebatian gas mengalami pening, muntah dan sesak nafas,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap, kejadian sedemikian tidak berlaku di Sarawak.

Hadir sama, Pegawai Kawalan Kanan JAS Sarawak, Zaharizam Johny.

Suara Sarawak