
KUCHING: Seramai 358 individu dipercayai terlibat penyalahgunaan dadah ditahan dalam ‘Op Tapis Khas’ yang dijalankan secara mengejut di seluruh Sarawak bermula 27 hingga 29 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, 352 orang ditahan merupakan warga tempatan termasuk empat tokan dadah, manakala enam lagi adalah warga asing masing-masing berusia 17 hingga 59 tahun.
Sementara dari segi pecahan jantina katanya, tangkapan meliputi 330 orang lelaki dan 28 orang perempuan.
“Dalam operasi ini polis telah merampas dadah bernilai RM69,618.50 merangkumi 131.47 gram dadah jenis syabu, 34 pokok ganja, 1.85 gram ganja, dan 1.5 liter air ketum.
“Sibu menjadi daerah rampasan dadah tertinggi bernilai RM56,420.00, diikuti Kuching bernilai RM4,970.50 dan Miri berjumlah RM4,576,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, polis turut menyita harta berkaitan kes bernilai RM120,000 iaitu masing-masing sebuah kereta di Sibu dan Bintulu.
Dedahnya, sebanyak 309 kertas siasatan dibuka dalam tempoh operasi tersebut dengan 23 daripadanya telah dituduh di mahkamah, manakala bakinya masih dalam siasatan.
Op Tapis Khas diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan dibantu oleh lain-lain jabatan dalam PDRM, agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan JPJ.
Dalam pada itu, ujarnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merekodkan sebanyak 5,491 orang tangkapan, rampasan dadah pelbagai jenis bernilai RM9,083,726.50 dan menyita harta bernilai RM1,914,003.07 dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2022.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah dan timbalannya, Deputi Superintendan Wong Leong Meng.