36 KMKK N.45 Repok terima sijil lantikan

SARIKEI: Seramai 36 pemimpin masyarakat di kawasan N.45 Repok menerima sijil lantikan masing-masing hari ini.

Mereka terdiri daripada tiga orang penghulu, 18 kapitan dan 15 tuai rumah.

Daripada jumlah itu, tiga menerima sijil lantikan pertama mereka ialah, Penghulu Egong Undong bagi kawasan Sungai Nyelong, Merudu, Meruton, Selangan, Sungai Paoh dan Baji.

Pada masa yang sama, Kapitan Lee Seng Hee bakal mewakili Sungai Rusa dan Sungai Bulat Hilir manakala, Kapitan Tang Wee Wun untuk kawasan Pantak, Sebanyak, Peninjau, Kwong Ming dan Repok.

Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) itu disempurnakan Residen Sarikei, Fecilia Tan dan disaksikan ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen.

Dalam pada itu, dalam amanatnya, Huang berkata, pemimpin masyarakat berperanan penting sebagai mata dan telinga kerajaan.

Sebagai pemimpin peringkat akar umbi katanya, mereka harus komited melaksanakan tanggungjawab selain berganding bahu antara satu sama lain.

Apa yang penting ujarnya, mereka perlu maklumat tepat bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat terutama berkaitan rancangan pembangunan kerajaan.

“Bagi saya, pemimpin masyarakat berperanan penting untuk memajukan Sarikei. Oleh kerana itu, pemimpin harus menjadi contoh, individu yang boleh dipercayai dan mampu membawa suara rakyat ke tengah.

“Sehubungan itu, saya amat menghargai sumbangan ketua menteri yang banyak meluluskan peruntukan untuk pembangunan Sarikei,” katanya.

Daerah Sarikei mempunyai kira-kira 58,000 orang berdasarkan bancian 2010.

Hadir sama Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting.