SARIKEI: Seramai 36 pemimpin masyarakat di kawasan Repok menerima sijil lantikan masing-masing, semalam.
Mereka terdiri daripada tiga penghulu, 18 kapitan dan 15 tuai rumah.
Daripada jumlah itu, tiga orang menerima sijil lantikan pertama iaitu Penghulu Egong Undong bagi kawasan Sungai Nyelong, Merudu, Meruton, Selangan, Sungai Paoh dan Baji.
Pada masa yang sama, Kapitan Lee Seng Hee mewakili Sungai Rusa dan Sungai Bulat Hilir manakala Kapitan Tang Wee Wun untuk kawasan Pantak, Sebanyak, Peninjau, Kwong Ming dan Repok.
Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum itu disempurnakan oleh Residen Sarikei Felicia Tan dan disaksikan Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen.
Dalam pada itu, dalam amanatnya Tiong Sii berkata, pemimpin masyarakat berperanan penting sebagai mata dan telinga kerajaan.
Sebagai pemimpin peringkat akar umbi katanya, mereka harus komited melaksanakan tanggungjawab selain berganding bahu antara satu sama lain.
Paling penting ujarnya, mereka perlukan maklumat tepat bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat terutama berkaitan rancangan pembangunan kerajaan.
“Bagi saya, pemimpin masyarakat berperanan penting untuk memajukan Sarikei.
“Oleh kerana itu pemimpin harus menjadi contoh, Mereka adalah individu yang dipercayai dan mampu membawa suara rakyat ke tengah.
“Sehubungan itu, saya amat menghargai sumbangan Ketua Menteri yang banyak meluluskan peruntukan untuk pembangunan Sarikei,” katanya.
Pegawai Daerah Sarikei Christopher Ranggau Unting turut hadir.