3,638 murid di Bintulu terima bantuan peralatan sekolah tahun 2020

BINTULU: Seramai 3,638 murid dari 13 sekolah rendah sekitar Bintulu menerima bantuan peralatan sekolah untuk tahun akademik 2020 di bawah program Kembali Ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2019 (BTS 2019) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, di sini.

Para pelajar yang dikenal pasti dari keluarga berpendapatan rendah, isi rumah bawah 40 peratus (B40), akan menerima beg sekolah, botol air, poncho, alat tulis berserta masing- masing dua pasang seragam sekolah, stoking dan kasut.

Simbolik penyerahan disempurnakan Ketua PETRONAS Sarawak, Zulaihi M Mantali dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman dan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Fred anak Entau.

Lita, dalam ucapannya, berkata bilangan penerima pada tahun ini merupakan yang paling ramai di seluruh negara sejak ia diperkenalkan 17 tahun lalu sekaligus melahirkan kegembiraan pihaknya ekoran dapat membantu sejumlah 21,000 pelajar sebagai persediaan untuk sesi persekolahan tahun depan.

Beliau berharap menerusi program tersebut membantu kekangan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah serta memotivasikan untuk mempertingkatkan usaha hingga mampu memperolehi keputusan yang lebih baik di masa depan.

“Setiap kanak-kanak harus diberi peluang untuk meneruskan pendidikan berkualiti untuk masa depan yang lebih baik dan keluar dari kepompong kemiskinan, ujarnya lagi sambil berharap pelajar terlibat dapat memperbaiki dan menaiktaraf kehidupan dan masyarakat mereka.

Mengikut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia, baru- baru ini, terdapat sedikit penurunan kadar keciciran sekolah di Malaysia iaitu daripada 0.34 peratus kepada 0.29 peratus antara 2014 dan 2017, dan Kementerian bercadang untuk terus berusaha mengurangkan kadar kepada 0.27 peratus pada tahun 2019.

Sementara itu, program BTS 2019 akan dijalankan dari pertengahan Oktober hingga November 2019, disokong oleh lebih daripada 800 sukarelawan PETRONAS yang akan memilih pakaian seragam sekolah dan kasut untuk kanak-kanak, pembungkusan dan penghantaran barang-barang ke sekolah.

Program ini akan memberi manfaat kepada 21,000 pelajar sekolah rendah dari keluarga rendah di seluruh negara.

UNTUK ALBUM…Zulaihi merakamkan gambar bersama sebahagian penerima program Kembali Ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2019.

 

UNTUK ALBUM…Zulaihi merakamkan gambar bersama sebahagian penerima program Kembali Ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2019.

Suara Sarawak