37 titik panas di Sarawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memohon orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka ketika ini.

Katanya, keadaan cuaca kering dengan jumlah hujan sedikit akan meningkatkan bilangan titik panas dan mungkin menyebabkan jerebu.

“Berdasarkan maklumat diterima Pusat Pakar Meteorologi Asean pada 8 Ogos, terdapat peningkatan bilangan titik panas ketara di selatan dan barat Kalimantan.

“Arah angin yang dijangka dari Barat Daya dalam tempoh beberapa hari akan datang bakal mempengaruhi kualiti udara di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong,” jelasnya pada sidang media Covid-19 di Bangunan Dun Lama, di sini semalam.

Tambah Uggah, risiko cuaca berjerebu adalah tinggi akibat jerebu setempat dan rentas sempadan.

Katanya lagi, keadaan dijangka bertambah buruk kerana cuaca kering untuk beberapa hari akan datang dan diburukkan lagi jika tiada tindakan mengawal kebakaran terbuka.

Uggah memberitahu, pusat itu juga mengesan sebanyak 37 titik panas di Sarawak pada 8 Ogos.

Kata Uggah, bagaimanapun, bilangan itu menurun kepada satu titik panas masing-masing pada 9 dan 10 Ogos 2020.

“Keadaan ini menyebabkan peningkatan Indek Pencemaran Udara (API) di beberapa kawasan di Sarawak mungkin disebabkan jerebu rentas sempadan.

“Keadaan ini dijangka memburukkan lagi kualiti udara jika tidak dikawal dan bilangan titik panas bertambah,” katanya.

Suara Sarawak