38 ekor lembu bakal tumbang di Sarikei

SARIKEI: Sebanyak 38 ekor lembu akan diagih untuk dikorbankan oleh masyarakat Islam sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini, tahun ini.

Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Abang Porkan Abang Budiman berkata, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh melalui Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang menyumbangkan sebanyak 22 ekor lembu, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang ( sembilan ekor), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii ( lima ekor) dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei ( Lakisri) dua ekor.

Menurutnya, lembu akan diagihkan kepada kampung, masjid dan surau di sekitar Sarikei dan Tanjung Manis.

“Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, sumbangan ikhlas ini juga menzahirkan rasa kasih dan sayang serta sikap peduli rakyat. Lembu yang akan dibahagikan itu akan disembelih sebelum dagingnya diagihkan kepada penduduk sekitar.

“Ia membolehkan lebih ramai penduduk berpeluang merasai daging korban, terutama golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya mempertahankan perpaduan dan sentiasa menyemai semangat pengorbanan, bertepatan dengan tuntutan agama.

Katanya, semua pihak harus merapatkan saf ukhwah dan mengekalkan keharmonian bagi memastikan semangat muhibbah dalam kalangan majmuk di bahagian ini sentiasa kekal terpelihara.

“Saya juga berharap kerjasama penduduk Islam Sarikei bagi memastikan majlis korban perdana yang berlangsung di Masjid Al- Mutaqqin pada 12 Ogos ini berjalan lancar. Program dijangka bermula 6.30 pagi,”ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Palimen P.206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab menyumbang sebanyak RM3,000 kepada setiap masjid, RM2,000 setiap surau dan RM1,500 untuk setiap surau kerajaan yang terpilih di kawasannya.

 

Antara lembu yang akan dikorbankan sempena Aidiladha di Sarikei.

Suara Sarawak