4 maut helikopter terhempas di China

KUNMING: Kesemua empat kru helikopter yang terhempas di sebuah tasik di Dali, wilayah Yunnan di barat daya China semalam disahkan meninggal dunia.

Agensi berita Xinhua, yang memetik pihak berkuasa tempatan melaporkan, dua anak kapal yang diselamatkan pada tengah hari Isnin, meninggal dunia selepas rawatan perubatan kecemasan gagal.

Dua lagi kru ditemukan sekitar jam 2.55 pagi hari ini dan disahkan meninggal dunia.

Pejabat kerajaan tempatan Dali berkata, helikopter itu terhempas di Tasik Erhai pada jam 10.20 pagi semalam ketika melakukan operasi mengangkut air bagi memadamkan kebakaran hutan.

Kebakaran itu berlaku kelmarin dan api berjaya dipadamkan pada awal semalam.

Seramai 2,532 orang dikerahkan untuk kerja memadamkan kebakaran. – BERNAMA

Suara Sarawak