40 individu dikompaun langgar SOP PKPB

BINTULU: Seramai 40 individu dikenakan kompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam serbuan di dua  pusat hiburan di kawasan Parkcity Commercial Square, Jalan Tun Ahmad Zaidi, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, kesemua individu yang berusia 19 hingga 49 tahun itu sedang leka berhibur  di premis berkenaan.

Beliau berkata kesemua individu terbabit  dikompaun sebanyak RM1,000 di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Manakala, dua penjaga di  salah sebuah premis hiburan tersebut pula disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000, Peraturan 3 PPDPP Berjangkit 2021 & 6 (1) (c) IMG 1959/63 kerana tidak mempunyai lesen operasi hiburan, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB serta  tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah semasa serbuan.

Menurut Zulkipli lagi, pihak polis akan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mempertimbangkan  pembatalan lesen premis terbabit.

“Saya melihat perkara ini amat serius kerana terdapat pengusaha dan pelanggan masih berdegil dengan arahan dikeluarkan oleh kerajaan dengan melanggar undang-undang, perkara ini adalah tidak bertanggungjawab.

” Saya beri amaran pasukan kami akan terus memperketatkan dan memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas  sebarang pelanggaran SOP atau ketidakpatuhan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan, tegasnya.

Suara Sarawak