40 kanak-kanak gunting rambut percuma

LIMBANG: Lebih 40 kanak-kanak menyertai program Gunting Rambut Untuk Budak-Budak Sekolah Percuma sempena Kembali ke Sekolah anjuran Pemuda PBB Batu Danau, di sini, hari ini.

Ketua Pemuda PBB Batu Danau Elvis Mathew Bungsu berkata, program bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Tujuan utama program bagi membantu penduduk setempat khususnya yang kurang berkemampuan,” katanya.

Elvis menjelaskan, ini kali pertama kali program seumpama itu diadakan.

“Kita tidak sangka sambutan sangat memberangsangkan kerana mereka bukan sahaja dari kawasan Batu Danau malahan juga Bukit Kota.

“Selepas ini, kita akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan, sekali gus sebagai persediaan kepada ibu bapa dan kanak-kanak untuk kembali ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Elvis berkata, program itu juga sebagai satu pendekatan untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat setempat.

“Kita prihatin dengan beban tanggungan ibu bapa dalam melakukan persiapan sekolah anak-anak mereka dengan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.

“Dengan adanya program seperti ini diharapkan dapat membantu ibu bapa mengurangkan beban kewangan terutamanya yang mempunyai ramai anak yang masih di dalam alam persekolahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Roslan Matjin, 43, berkata, program seumpama itu perlu diteruskan pada tahun akan datang, memandangkan ia memberi banyak manfaat kepada ibu bapa terutama yang mempunyai ramai anak yang bersekolah.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah, mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menggunting rambut sahaja.

“Sekarang upah gunting rambut bagi kanak-kanak antara RM5 hingga RM 8 seorang.

“Program sedemikian sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapa dan perlu diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.