400 peserta sertai Larian Denggi Bintulu 2019

BINTULU: Lebih 400 penyertaan diterima dalam aktiviti Larian Denggi Bintulu 2019 Sekolah Kebangsaan(SK) Tanjung Batu yang diadakan di perkarangan NAIM Paragon, awal pagi tadi.

Program julung kali anjuran SK Tanjung Batu ini mendapat penyertaan bukan sahaja di kalangan warga sekolah terbabit malah pihak ibu bapa, orang perseorangan termasuk kakitangan syarikat swasta yang terdapat di sekitar Bintulu.

Dengan jarak larian 7.6 kilometer bermula di perkarangan Naim Paragon, larian ini dicetuskan untuk menyemai amalan dan aktiviti sihat di kalangan masyarakat melalui kempen bebas denggi yang dijalankan oleh SK Tanjung Batu.

Menurut Guru Besar SK Tanjung Batu, Togang Sedin, penyertaan pelbagai pihak menepati sasaran pihak sekolah.

Beliau berkata, walaupun penganjuran larian bukan berskala besar, namun ia berhasrat menyemai matlamat kempen bebas denggi yang menjadi kunci utama mereka.

Beliau secara peribadi melihat penganjuran larian tersebut sebagai kemuncak kepada Kempen Bebas Denggi bagi tahun ini.

Togang, dalam pada itu, menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung termasuk penaja dalam menyokong usaha pendidikan dalam menggempur denggi diperingkat bahagian Bintulu dan peringkat nasional khususnya.

Sementara itu,Penolong Penyelia Sukan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Micheal Paul Puji sokongan semua pihak dilihat amat positif serta membanggakan.

Justeru, ujarnya, Larian Denggi Bintulu wajar diteruskan penganjurannya pada masa akan datang.

Selain acara larian, turut diadakan cabutan bertuah kepada para peserta larian yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Kelab Doktor Muda SK Tanjung Batu turut mengagih risalah berkaitan kempen bebas denggi kepada orang ramai.

Suara Sarawak