ARTIKEL

43 lembu korban diagih buat masyarakat Islam Bahagian Samarahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Pengagihan sejumlah 43 ekor lembu kepada tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahagian Samarahan bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan sempena Hari Raya Aidiladha.

Program tahunan anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan itu membolehkan setiap DUN yang terlibat iaitu Asajaya, Muara Tuang, Stakan, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau menerima enam ekor lembu masing-masing.

Manakala seekor lagi lembu disumbangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin, Masjid Bahagian Samarahan.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga bendahari lembaga tersebut, Datuk Julaihi Narawi, program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial pihaknya untuk meraikan Hari Raya Aidiladha bersama-sama masyarakat setempat.

“Ia membolehkan kita berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan termasuk fakir dan miskin. Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini.

“Sementara di pihak sebagai penyumbang, kita berasa sangat gembira kerana dapat membantu meringankan kesusahan hidup saudara Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lembu Korban 1444H/ 2023M sumbangan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.

“Dalam pada itu, saya percaya setiap kampung di bahagian ini turut menerima sumbangan lembu korban daripada komuniti atau masjid masing-masing, bermakna setiap DUN bukan hanya menerima enam ekor lembu sahaja.

“Mudah-mudahan usaha ini akan dapat beri kesedaran kepada kita tentang makna sebenar ibadah korban, dalam masa yang sama merapatkan lagi hubungan silaturahim antara kita khususnya umat Islam di Bahagian Samarahan,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ADUN Sadong Jaya Ir Aidel Lariwoo.

BERITA LAIN

Program Sarjana Muda Undang-Undang UM dilancar di Sarawak

KUCHING: Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dengan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Swinburne, Sarawak mewujud dan memudahkan

Program vaksinasi haiwan percuma

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak akan menganjurkan program vaksinasi haiwan peliharaan, esok. Program terbabit akan berlangsung dari jam 9 pagi

BERITA TERBARU