430 ekor anjing berjaya disuntik vaksin dalam Ops Anti Rabies

KUCHING: Sebanyak 430 ekor anjing berjaya diberi suntikan vaksin pada hari keempat Operasi Anti Rabies di Kuching yang sedang dijalankan.

Operasi yang bermula pada 22 April hingga 3 Mei adalah ketiga selepas bahagian Samarahan dan Padawan.

Sejak operasi dijalankan, sebanyak 437 anjing liar dan tiga ekor kucing disingkirkan.

Bilangan keseluruhan anjing yang berjaya diberi vaksin di bahagian Kuching (termasuk sejak 2017) mencecah 11,569 daripada populasinya dianggarkan 50,000 ekor.

RAKAM KENANGAN … Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) bersama Andrew Tan dan pemilik anjing yang lain pada program pemberian vaksin anti rabies di Kuching hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri meluangkan masa untuk memantau pemberikan suntikan vaksin anti rabies di tempat meletak kereta di Green Height hari ini.

Beliau ditemani oleh Setiausaha Jawatankuasa Kejiranan Taman Borneo / Green Height, Andrew Tsen serta ahli yang lain.

Hadir sama, ahli jawatankuasa Save Our Strays (SOS) dan pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Dalam pada itu, Uggah memuji kejiranan terbabit yang memberi kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan operasi mengekang wabak rabies.

Katanya, kejiranan itu boleh menjadi contoh kepada taman-taman yang lain apabila membantu usaha kerajaan memberi suntikan anti vaksin kepada anjing peliharaan mereka.