4,413 mangsa banjir di 49 PPS di Kuching, Samarahan, Serian dan Miri

KUCHING: Setakat jam 4.00 petang ini, jumlah mangsa banjir di Sarawak terus merekodkan peningkatan kepada 4,413 orang dan ditempatkan di 49 Pusat Pemindahan Sementara
(PPS).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Bahagian Kuching masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,043 orang daripada 760 keluarga dan ditempatkan di 30 PPS.
“Bahagian Samarahan pula mencatatkan sejumlah 314 mangsa daripada 105 keluarga dan kini ditempatkan di tujuh PPS.
“Sementara Serian menempatkan 314 mangsa daripada 302 keluarga di 10 PPS,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, jumlah mangsa banjir di Bahagian Miri kekal dengan 29 mangsa dari empat keluarga di dua PPS.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan orang ramai untuk tidak membuka pusat pemindahan sendiri kerana ia merupakan tanggungjawab JPBNS.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak berpindah ke PPS yang bukan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah.
“Ini kerana terdapat beberapa kes masyarakat yang berpindah dan dan mendirikan PPS sendiri.
“Jangan lakukan ini kerana kita sekarang menghadapi pandemik Covid-19 dengan SOP di PPS kini lebih ketat,” tegasnya.

Suara Sarawak