ARTIKEL

45 Penghuni STB, 10 Asrama Akhlak Lelaki Ikuti Program Pendidikan, Pemulihan, Kemahiran JKM Sarawak

45 Penghuni STB, 10 Asrama Akhlak Lelaki Ikuti Program Pendidikan, Pemulihan, Kemahiran JKM Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seramai 45 remaja di Sekolah Tunas Bakti (STB) Kuching, manakala 10 lagi menghuni Asrama Akhlak Lelaki Kuching mengikuti program pendidikan, pemulihan sahsiah dan latihan kemahiran di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.

Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad berkata, kesemua 55 penghuni itu diberi peluang membina masa depan yang lebih cerah menerusi pelbagai program pendidikan, latihan kemahiran dan pemulihan yang disediakan di kedua-dua institusi berkenaan.

“Antara kemudahan yang disediakan ialah kelas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dalam institusi, kelas 3M, latihan asas pertanian, latihan asas elektrik, latihan asas binaan bangunan, selain sebahagian penghuni turut mengikuti persekolahan arus perdana di sekolah luar institusi.

“Kehadiran anak-anak ini di institusi bukan sahaja memberi peluang untuk membina masa depan yang lebih cerah, malah mencerminkan komitmen kerajaan memastikan setiap anak mendapat perhatian, bimbingan dan sokongan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai 2026 Sekolah Tunas Bakti Kuching dan Asrama Akhlak Lelaki Kuching yang dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah di Dewan Sri Bakti, Sekolah Tunas Bakti Kuching, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Semawi menjelaskan selain latihan asas, institusi berkenaan turut melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah, disiplin dan daya tahan mental termasuk program motivasi, aktiviti komuniti, sukan serta sesi kaunseling berkala.

Katanya, sebanyak 81 aktiviti dilaksanakan pada 2024, diikuti 70 aktiviti pada 2025 dan 37 aktiviti sepanjang tahun ini, yang kebanyakannya dibiayai menerusi geran Kerajaan Sarawak kepada Lembaga Pelawat institusi.

Menurutnya lagi, hasil bimbingan dan peluang kedua yang diberikan, beberapa bekas penghuni berjaya melakar kejayaan termasuk berkhidmat sebagai Laskar II dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi pemasangan paip, fabrikasi struktur logam dan kimpalan di ADTEC Kota Samarahan.

Beliau juga mengingatkan penghuni supaya memanfaatkan tempoh berada di institusi untuk memperbaiki sahsiah, menimba ilmu dan membina kemahiran sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat menjalani program pemulihan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU