4,700 penduduk Sungai Asap sudah divaksin

BELAGA: Seramai 4,700 penduduk daripada 15 rumah panjang di Kawasan Penempatan Semula Sungai Asap di sini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Sungai Asap.

Mereka terdiri daripada penghuni rumah panjang Penan Belangan termasuk pekerja ladang, kem balak serta industri di sekitar Sungai Asap.

Adun Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon berkata beliau gembira dengan sambutan yang mengalakkan dari penduduk di kawasan pedalaman itu.

“Sudah tentu objektif kerajaan adalah untuk memvaksin semua warganegara dan bukan warganegara untuk melindungi mereka daripada Covid-19,” katanya ketika hadir meninjau proses vaksinasi di Dewan Serbaguna Sungai Asap di sini, hari ini.

Justeru, beliau berharap mereka yang belum divaksin untuk segera hadir ke PPV di Dewan Serbaguna Sungai Asap untuk mendapatkan suntikan vaksin sementara ia masih beroperasi ketika ini, yang bermula dari jam 8 hingga 5 petang.

Kennedy menyampaikan bakul makanan kepada penghuni rumah panjang.

Suara Sarawak