472, 923 KIR diseluruh S’’wak akan terima bantuan bakul makanan

KUCHING: Sebanyak 472, 923 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada semua 12 bahagian di Sarawak akan menerima bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian setakat semalam, sejumlah 49,811 isi rumah (10.5 peratus) telah mendapat bantuan makanan ini.

“Kami menyasarkan untuk menyelesaikan pengagihan bantuan makanan ini pada 11 Jun.

“Bagi yang belum menerima, kami berharap mereka bersabar kerana pengedaran sangat mencabar dari segi logistik, dengan ada kawasan memerlukan pengangkutan udara (helikopter), darat, sungai dan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut Abang Johari, bantuan bekalan makanan ini adalah salah satu pakej di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 untuk isi rumah yang terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 29 Mei sehingga 14 Jun ini.

Katanya sebanyak RM35.5 juta telah diperuntukkan untuk membeli dan menyampaikan bantuan makanan ini.

“Setiap DUN akan menerima peruntukan minimum sebanyak RM250,000.

“Bagi yang memiliki lebih banyak KIR, mereka akan diperuntukkan mengikut jumlah isi rumah yang disasarkan, terutama yang berada dalam kategori B40,” katanya.

Suara Sarawak