KUCHING: Sebanyak 479 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 34,706 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sejumlah 324 atau 67.24 peratus daripada jumlah kes ini telah dikesan di Daerah Sibu, Bintulu dan Miri.
Menurut JPBN, Daerah-daerah yang merekodkan kes pada hari ini ialah Daerah Sibu (125), Bintulu (110), Miri (89), Kapit (35), Sri Aman (23), Mukah (22), Kuching (14), Kanowit (13), Sebauh (12), Selangau (9), Subis (5), Beluru (5), Lubok Antu (4), Tatau (3), Serian (3), Saratok (2), Song (2), Tanjung Manis (1), Meradong (1) dan Samarahan (1).
“Daripada 479 kes baharu yang dilaporkan, seramai 64 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan semasa saringan dijalankan.
“Manakala, seramai 419 orang adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, 367 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 (25 kes bergejala).
Manakala kata JPBN, 43 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (1 kes bergejala).
JPBN turut memberitahu, sebanyak 37 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan.
“Sementara 23 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan (1 kes bergejala).
“Lapan kes melibatkan individu yang balik dari negeri-negeri lain di dalam Malaysia (Import B) (kes tidak
bergejala) dan satu kes import A dari negara Austria,” katanya.