488,857 permohonan usahawan diluluskan

KUCHING: Kerajaan meluluskan 488,857 atau 76 peratus permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro daripada 643,000 yang diterima setakat tarikh tutupnya 15 Mei lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata semakan status permohonan boleh dibuat mulai esok dan bagi mereka yang lulus, jumlah pembayaran sebanyak RM1.47 bilion akan dibuat mulai 15 Jun ini.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang membuat semakan lanjut ke atas 81,260 permohonan dan status kelulusan bagi permohonan akan dimaklumkan mulai 8 Jun ini.

Bagi mereka yang lulus, bayaran akan dibuat mulai 15 Jun juga. “LHDN juga mendapati sebanyak 72,859 permohonan yang tidak lulus.

Bagi mereka yang tidak lulus, tempoh rayuan akan dibuka dari 3 hingga 15 Jun melalui portal rasmi LHDN iaitu gkp.hasil.gov. my.

Bagi perayu yang lulus, bayaran akan dibuat mulai 29 Jun,” katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej PRIHATIN di Facebook, semalam.

Sementara itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan memberi peluang kepada mereka yang gagal dalam permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk membuat rayuan mulai semalam sehingga 15 Jun 2020.

“LHDN memaklumkan peluang itu dibuka bagi memastikan semua pihak yang layak menerima geran khas itu tidak tercicir, dan rayuan boleh dibuat melalui portal rasminya iaitu di https://gkp. hasil.gov.my/.

“Setiap permohonan rayuan akan diproses dengan teliti dan keputusannya akan dimaklumkan mulai 22 Jun ini, manakala pembayaran pula dijangka dibuat mulai 29 Jun,” menurut kenyataan itu.

LHDN turut memaklumkan bahawa kelulusan bagi permohonan GKP yang telah dibuka sejak 1 Mei lepas boleh disemak di portal yang sama mulai semalam.

Bagi pemohon GKP yang telah diluluskan, bayaran dijangka dibuat secara pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai 15 Jun ini manakala bagi permohonan yang masih dalam semakan pula, keputusan akan dimaklumkan mulai 8 Jun ini dan pembayaran dibuat secara berperingkat mulai 15 Jun nanti.

Suara Sarawak