KUCHING: Sarawak merekodkan 489 kes positif baharu dan lima kes kematian akibat Covid-19, hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, susulan daripada itu kes positif di negeri ini meningkat kepada 21,448 kes dan 133 kes kematian.
“Daerah Kuching merekodkan 99 kes, Sri Aman (76), Sibu (75), Miri (50), Bintulu (48), Beluru (32), Samarahan (25), Sarikei (17), Kapit (9), Mukah (9), Belaga (8), Meradong (8), Serian (7), Saratok (6), Subis (5), Marudi (5), Bau (3), Julau (2), Matu (2) dan satu kes masing-masing di Lubok Antu, Pakan dan Kabong.
“Daripada 489 kes itu juga, seramai 23 orang yang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan, manakala 436 orang yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai peningkatan jumlah kes positif hari ini, JPBN memberitahu ia susulan daripada dua punca utama iaitu dari Kluster Tembok Sri Aman dan Kluster Jalan Puncak Borneo.
“Seramai 47 kes positif melibatkan Kluster Jalan Puncak Borneo dan kesemua mereka adalah kontak rapat yang telah dikuarantin dan tidak ada bukti penyebaran kepada masyarakat setempat.
“Kes di Kluster Tembok Sri Aman melaporkan seramai 76 kes positif baru dan ia adalah sampel kedua yang telah diambil pada hari ke-10.
“Kluster ini terkawal di dalam penjara dan semua langkah yang diperlukan telah diambil untuk mencegah penyebaran kepada masyarakat setempat,” jelasnya.
Sementara itu, JPBN mendedahkan sebanyak 51 kes positif lagi yang dilaporkan hari ini adalah dari lain-lain kluster aktif yang telah dilaporkan.