50 ahli Kelab Berbasikal Santai Mukah sertai kayuhan Merdeka

MUKAH: Seramai lebih 50 ahli Kelab Berbasikal Santai Mukah (KBSM) berkesempatan melakukan kayuhan Merdeka sekitar Mukah bersempena dengan hari Kebangsaan pada hari ini.

Majlis pelepasan kesemua pekayuh telah dirasmikan oleh Adun Balingian Abdul Yakub Arbi di perkarangan Hotel Kingwood pagi tadi.

Menurut Presiden KBSM Jamil Othman, aktiviti kayuhan tersebut diadakan bertujuan bagi menghormati hari kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos.

“Dalam pada itu kayuhan kelab kita ini juga penting untuk memastikan kecergasan kesihatan dan kecerdasan minda semua ahli, untuk menuju gaya hidup yang sihat.

“Di samping kita juga mahu mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara semua ahli-ahli terutamanya golongan belia yang ada menyertai kita hari ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya lagi aktiviti Kayuhan Merdeka merupakan aktiviti tahunan kelab bagi menghimpunkan semua peminat sukan berbasikal.

“Pada kali ini ia merupakan kali keenam kita mengadakan Kayuhan Merdeka sejak 2013 yang lalu.

“Kesemua peserta yang menyertai ialah dari sekitar Mukah, Dalat dan Igan,” ujarnya.