50 rumah panjang sudah dijangkiti Kluster Pasai, merebak hingga generasi keempat

SIBU: Kluster Pasai telah menular di serata Sarawak dan kini menjangkiti generasi keempat dalam tempoh kurang sebulan.
Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew melahirkan kebimbangannya terhadap jangkitan lebih kepada masyarakat Iban di luar bandar ataupun di rumah-rumah panjang.
“Ia sangat menakutkan. Betapa cepatnya virus ini merebak.
“Sekarang lebih 50 buah rumah panjang di bahagian Sibu didapati sekurang-kurangnya mempunyai satu kes positif,” tegas beliau.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan itu berkata demikian ketika meninjau ujian calitan Covid-19 membabitkan dua penduduk rumah panjang di sini, sebentar tadi.

Dua rumah panjang terbabit ialah Rumah Catherine Tamoh dan Rumah Francis Jenggi.
Kedua-dua rumah panjang tersebut dikenakan sekatan pergerakan susulan terdapat beberapa kes positif Covid-19 pada dua hari lepas menerusi Kluster Pasai.
Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu telah melakukan pemeriksaan ujian calitan untuk kedua-dua penduduk rumah panjang tersebut.
Pemeriksaan itu atas permintaan Lau yang sangat bimbang dengan penularan yang meluas virus ini membabitkan rumah-rumah panjang.
Beliau berkata, seramai 132 penduduk di kedua-dua rumah panjang tersebut tampil untuk ujian calitan.


“Ini kepada penduduk yang belum pernah membuat ujian saringan mahupun calitan. Bagaimanapun, sebilangan penduduk menjalani ujian saringan mereka lebih awal di Stadium Tertutup Sibu sebelum ini,” tegas beliau.
Lau memberitahu, penting bagi melakukan ujian saringan bagi semua penduduk yang tinggal di rumah panjang ketika terdapat individu yang positif juga berada di rumah panjang yang sama.
Beliau juga turut menasihatkan semua penduduk rumah panjang agar tidak pergi ke mana-mana dan kekal berada di bilik mereka.
“Ini adalah satu-satunya penyelesaian praktikal untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 terutama di rumah panjang,” tegas beliau.

Suara Sarawak