500 orang sertai rentas desa

SIBU: Sempena ulang tahun ke-10, Saberkas Unit Borneo Eco Trek menganjurkan larian merentas desa di Jade Dragon Temple, Batu 16, Jalan Sibu-Bintulu, semalam.

Upacara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting.

Turut hadir Pengerusi Pansar Berhad Dato James Tai, Pengarah Urusan Pansar Berhad Datuk Jason Tai dan Pengerusi Saberkas Unit Borneo Eco Trek Raymond Tiong.

Seramai 500 peserta menyertai larian tersebut yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 10 kilometer untuk jarak jauh, enam kilometer untuk jarak sederhana dan tiga kilometer untuk jarak dekat.

Ting dalam ucapan perasmiannya berkata, MPS menyokong sepenuhnya acara larian berkenaan serta mengalu-alukan acara ini diteruskan pada masa akan datang.

Jelasnya, aktiviti sihat itu harus dimanfaat oleh masyarakat dalam usaha mempromosikan budaya hidup sihat.

“Kerajaan turut menyokong aktiviti sebegini. Oleh itu, saya menjamin sokongan terhadap aktiviti ini akan berterusan dan dicadangkan untuk menganjurkannya dengan berskala besar pada masa akan datang,” tam-
bahnya lagi.

Tiong terdahulu dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan acara larian tersebut.

“Acara ini bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta tetapi juga sokongan daripada pihak penaja.

“Lebih menarik, acara ini bukan sahaja disertai oleh masyarakat tempatan, malah turut disertai oleh peserta dari luar termasuk iaitu Bintulu, Tatau dan Kapit,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak