BINTULU: Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, lokasi sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak, sudah bersedia untuk meraikan acara penuh bersejarah pada malam esok, Jumaat.
Raptai penuh majlis sambutan tersebut yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dijalankan dengan lancar, di sini, malam tadi.
Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan tersebut merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom turut turun padang bagi meninjau persiapan dan raptai sambutan.
Antara tarikan utama sambutan tersebut adalah pertunjukan bunga api berirama, persembahan tarian kebudayaan pelbagai etknik, selain persembahan hiburan daripada artis tempatan dan terkenal tanah air seperti Dato’ M.Nasir, Andi Bernadee (Sabah), Ramles Walter, Florence Lo, Claudia Geres, Safar Ghafar, Sazia Selir dan Max Kueh.
Bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, sambutan itu menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung untuk sama-sama memeriahkan majlis yang akan bermula pada jam 8 malam.
Antara tetamu kenamaan yang dijangka hadir ialah isteri Tun Taib, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta barisan kabinet neger.
Kumpulan Koir Dvoices Majlis Seni Sarawak turut akan mempersembahkan Ritma Malaysia berupa medley lagu-lagu patriotik yang digubah dalam satu persembahan nyanyian secara kumpulan (koir) dan gerak tari yang melambangkan semangat kebersamaan perpaduan dan kebanggaan sebagai anak Malaysia sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api berirama.
Orang ramai juga berpeluang menyaksikan tayangan video transformasi Bintulu daripada sebuah pekan nelayan menjadi pusat industri terkenal Malaysia.
Sambutan akan disiarkan secara langsung melalui TVS saluran 122 Astro dan myFreeview serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube, UKAS Channel.
Ini merupakan julung kali Bintulu diberi penghormatan sebagai tuan rumah, yang disifatkan amat signifikan dalam memperingati peristiwa bersejarah 16 September 1963, lahirnya sebuah negara yang berdaulat bernama Malaysia.