BARU-BARU ini tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendedahkan hampir setengah juta rakyat Malaysia mengalami simptom tekanan dan depresi.
Kajian itu juga mendedahkan sejumlah 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental, dengan separuh daripada masalah gangguan mental mula dikesan pada usia 14 tahun dan tiga per empat pula ketika berusia 20-an.
Lebih membimbangkan, apabila Kementerian Kesihatan Malaysia turut mencatat sekitar 465 kes cubaan bunuh diri dalam Januari dan Jun pada tahun ini.
Beberapa hari yang lalu, kita juga dikejutkan dengan laporan seorang lelaki rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, maut selepas terjun dari tingkat lapan sebuah pangsapuri di republik itu.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah kerja di samping merindui keluarganya,selepas terkandas di Singapura hampir lapan bulan.
Tidak dinafikan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan ramai warga negara ini mengalami tekanan emosi.
Walaupun keadaan bertambah baik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun statistik Befrienders Kuala Lumpur pula menunjukkan sebaliknya.
Befrienders merupakan pusat sokongan emosi cegah bunuh diri yang bertujuan membantu mereka yang dalam tekanan.
Penaung Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye mendedahkan, terdapat peningkatan panggilan diterima Befrienders, kebanyakannya yang mengalami kesusahan dan ingin bunuh diri pada Julai, Ogos dan September berbanding April, Mei dan Jun.
Hal ini kerana perubahan persekitaran kerja seperti perlu bekerja dari rumah, hilang punca pendapatan dan pekerjaan serta kebimbangan melampau terhadap keselamatan.
Situasi ini sebenarnya bukan sahaja dialami di negara kita tetapi di seluruh dunia susulan pandemik global yang belum ada penghujungnya.
Justeru, WHO mengambil inisiatif dengan mengeluarkan garis panduan untuk membantu kita terus memastikan kesihatan mental.
Ketika dalam masa yang sukar ini, adalah penting untuk terus menjaga kesihatan fizikal dan mental. Ini bukan sahaja dapat membantu kita dalam jangka masa panjang, tetapi membantu ketika melawan Covid-19 sekiranya dijangkiti wabak ini.
Berikut antara garis panduan dan nasihat yang dikeluarkan WHO untuk terus memastikan kesihatan fizikal juga mental.
Pertama, kita dinasihatkan supaya mengambil makanan yang sihat dan berkhasiat bagi membantu sistem imun berfungsi dengan baik.
Kedua, hadkan pengambilan alkohol dan elakkan minuman bergula secara berlebihan.
Ketiga, jangan merokok kerana tabiat ini mampu meningkatkan risiko teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.
Keempat, amalkan senaman malah WHO juga mengesyorkan aktiviti fizikal selama 30 minit orang dewasa manakala satu jam sehari untuk kanak-kanak.
Bagi kawasan yang dibenarkan untuk melakukan aktiviti luar, kita digalakkan keluar bersiar-siar, joging atau aktiviti lain di kawasan yang tidak sesak namun harus mengamalkan penjarakan fizikal yang ketat.
Bagi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) seperti Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor, anda boleh mencari video latihan senaman dalam talian, menari, melakukan yoga, atau berjalan naik dan turun tangga di kawasan kediaman.
Menurut WHO, bercakap dengan orang yang kita kenal dan percaya juga dapat membantu seperti berkomunikasi dengan keluarga, jiran dan rakan-rakan.
Sesungguhnya kasih sayang adalah ubat yang mujarab. Selain itu, ambillah masa yang terluang dengan mendengar muzik, membaca buku atau bermain sesuatu permainan.
WHO juga menasihati supaya tidak membaca atau menonton terlalu banyak berita pandemik jika itu membuatkan kita berasa cemas.
Kita digalakkan mendapatkan maklumat daripada sumber yang dapat dipercayai, sekali atau dua kali sehari sebagai panduan.
Tidak dinafikan pandemik Covid-19 mengubah hidup kita secara drastik, tetapi dari sisi lain ia memberi kita satu kekuatan iaitu peluang untuk bersatu sebagai satu kemanusiaan, bekerjasama, belajar bersama-sama dan terus bangkit.