KUCHING: Seramai 51 kontraktor daripada 19 syarikat berdaftar dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) menyertai program Community Technical Outreach Programme (C-TOP).
Menurut Timbalan Pengarah Industri Akademi Centexs Dr Nadianatra Musa, program dianjurkan Centexs dengan kerjasama SEB itu menyasarkan 500 kontraktor ‘panjat menara’ pada tahun 2022.
Menurutnya, program percuma tersebut akan memberikan peserta pensijilan ‘Working At Height’ (WAH) yang diperakui industri oleh Centexs.
“Melalui program ini juga, kita berkongsi ilmu bermanfaat bagi membantu membangunkan keupayaan kontraktor yang berdaftar di bawah SEB untuk melaksanakan kerja mereka dengan lebih selamat.
“Dalam masa yang sama kita tumpukan kepada beberapa industri lain sepanjang program seperti pembinaan dan yang berkaitan dengan elektrik,” katanya semasa berucap dalam Program C-TOP, di Auditorium Centexs, hari ini.
Jelasnya, WAH memerlukan orang yang terlatih kerana ia antara program yang agak mencabar dan berisiko tinggi serta melibatkan keselamatan dan nyawa manusia jika tidak diawasi dengan baik.
Justeru katanya, program tersebut bersesuaian dengan keperluan pihak SEB yang dikelilingi suasana pekerjaan berisiko tinggi.