512 kes baharu Covid-19, satu kematian

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan sebanyak 512 kes baharu Covid-19 dengan satu kematian di Miri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Bintulu merekodkan kes tertinggi iaitu 149 kes, diikuti Selangau (105) dan Sibu (95).

“Sementara Kuching (37), Miri (22), Mukah (17), Samarahan (15), Song (12), Kapit (12), Serian (9), Matu (9), Asajaya (6), Betong (5), Tatau (5), Bukit Mabong (3), Meradong (2), Kanowit (2), Saratok (2) dan masing-masing satu di Subis, Beluru, Kabong, Belaga dan Marudi.

“Ini menjadikan keseluruhan meningkat kepada 23,432 kes,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, daripada keseluruhan kes seramai 421 adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan menjalani perintah kuarantin.

“Hanya 34 orang menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan,” ujarnya.

Menjelas mengenai kematian ke-136 di Sarawak itu, Uggah berkata ia melibatkan wanita warga emas berusia 67 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Miri kerana mengalami kelesuan badan dan kurang selera makan.

“Saringan ujian rT-PCR di buat dan dikesan positif, kes disahkan meninggal dunia pada 13 April serta mempunyai penyakit jantung,” katanya.

Suara Sarawak