512 kes hari ini, dengan Miri, Bintulu dan Subis penyumbang terbesar

KUCHING: Sebanyak 512 kes positif baharu dan dua kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 36,321 kes dan 211 kes kematian.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sejumlah 326 atau 63.67 peratus daripada jumlah kes ini telah dikesan di Daerah Miri, Bintulu dan Subis.

“Bahagian Miri telah merekodkan 256 kes baharu Covid-19 hari ini yang melibatkan daerah Miri (160 kes), Subis (75 kes) dan Beluru (21 kes).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 222 kes adalah terdiri daripada kontak rapat yang telah diberi arahan perintah kuarantin dan dipasang gelang pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

JPBN menambah, seramai 149 kes terdiri daripada kontak rapat kepada kes dan kluster aktif sedia ada serta kontak rapat di rumah panjang Rumah Libau, Subis kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebanyak 11 kes dikesan melalui saringan individu bergejala, 21 kes dikesan melalui saringan pekerja sektor minyak dan gas sebelum ‘sign-on’, manakala dua kes lagi adalah kategori lain-lain saringan di fasiliti kesihatan,” jelasnya.

Selain Miri, Subis dan Beluru, JPBN mendedahkan sebanyak 91 kes positif Covid-19 dikesan di daerah Bintulu, Sibu (47), Kuching (31), Tebedu (13), Kanowit (12), Sri Aman (8), Selangau (8), Mukah (7), Pusa (7), Saratok (6), Dalat (5), Serian (5), Sarikei (4), Samarahan (4), Tatau (2), Sebauh (2) dan satu kes masing-masing di Meradong, Lawas, Pakan dan Betong.

Sementara itu, JPBN memberitahu kes kematian ke-210 melibatkan seorang perempuan rakyat Sarawak berumur 63 tahun yang berasal dari daerah Sibu.

Manakala, kes kematian ke-211 pula melibatkan seorang lelaki rakyat Sarawak berumur 64 tahun kerana mengalami kesesakan pernafasan.

Suara Sarawak