5,338 Ketua Isi Rumah di Daerah Tatau bakal terima penutup mulut dan hidung bermula Isnin hingga Selasa depan

BINTULU: Seramai 5,338 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 258 rumah panjang dan kampung di sekitar Daerah Tatau akan dibekalkan penutup mulut dan hidung bermula hari ini(Isnin) hingga Selasa depan.

Kedua- dua (penutup mulut dan hidung) ini merupakan sumbangan Kerajaan Sarawak di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang, demikian kata Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Calvin Ligong Anak Bujang @Endawie.

Menurutnya, pengagihan akan diselaraskan Pejabat Daerah Tatau dengan kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Tatau.

KMKK Daerah Tatau akan berperanan membantu pihak Pejabat Daerah Tatau dalam pengagihan penutup hidung dan mulut di kawasan masing- masing untuk diserahkan kepada setiap isi rumah di rumah panjang dan kampung,” katanya pada majlis ringkas penyerahan menyerahkan penutup mulut dan hidung kepada pengerusi Jawatankuasa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah, Pemanca Gerosen Jubin di Pejabat Daerah Tatau.

Sementara itu, Pemanca Gerosen Jubin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas sumbangan penutup mulut dan hidung ini yang amat diperlukan masyarakat ketika ini dalam membantu usaha kerajaan mengekang serta memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Calvin menyerahkan bungkusan penutup mulut dan hidung kepada Pemanca Gerosen untuk diagihkan kepada KIR di Daerah Tatau.