IMPHAL: Angka kematian selepas pertempuran etnik di kawasan terpencil timur laut India meningkat kepada 54 orang pada Sabtu, dengan keganasan berlarutan semalaman meskipun pihak berkuasa mengerahkan tentera untuk memulihkan keadaan.
Ribuan tentera dihantar ke negeri Manipur selepas perarakan protes oleh kumpulan puak bertukar ganas pada Rabu lalu.
Pihak berkuasa menyekat Internet dan mengeluarkan perintah untuk melepaskan tembakan dalam kes ekstrem bagi usaha untuk membendung pergolakan.
Keadaan kekal tegang selepas serangan baharu keganasan pada malam Jumaat, beberapa jam selepas pegawai tertinggi polis negeri itu memberi amaran yang perusuh mencuri senjata dan peluru dari balai polis.
Bilik mayat hospital di ibu negeri Imphal dan daerah Churachandpur di selatan melaporkan jumlah keseluruhan 54 maut, menurut media tempatan.
“Sekurang-kurangnya 16 mayat disimpan di bilik mayat hospital daerah Churachandpur manakala 15 mayat berada di Institut Sains Perubatan Jawaharlal Nehru di daerah Imphal East.
“Institut Sains Perubatan Serantau di Lamphel di daerah Imphal West melaporkan 23 orang maut,” lapor agensi berita Press Trust of India, memetik seorang pegawai tempatan yang tidak dinamakan.
Ketua Pengarah Polis, Manipur P. Doungel memberitahu pemberita pada Jumaat pasukan keselamatan berjaya mengawal keadaan.
Peronda tentera dikerah ke kawasan pedalaman untuk membendung keganasan, katanya.
Tetapi tambah beliau, beberapa balai polis diserbu oleh penjenayah yang mencuri senjata dan peluru serta mengeluarkan rayuan awam supaya senjata tersebut dikembalikan.
Pasukan keselamatan dan kerajaan Manipur masih belum mengeluarkan angka kematian rasmi untuk keganasan minggu ini.
Menteri Undang-Undang India, Kiren Rijiju meberitahu pemberita pada Sabtu mengatakan selepas beberapa hari pertempuran banyak nyawa terkorban di samping kerosakan harta benda.
Sekatan Internet turut menghalang aliran maklumat dari Manipur dan butiran terkini berkenaan pertempuran.
Menurut unit tentera India yang berpangkalan di negeri jiran Nagaland, 13,000 orang mencari perlindungan daripada keganasan itu.