55 pelajar terima sumbangan Program Back To School JKKK Kampung Masjid Jepak

BINTULU: Seramai 55 orang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat sumbangan beg serta sekolah serta alat tulis sempena program Back to School anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Masjid Jepak, hari ini.

Sumbangan berkenaan bagi meringankan beban golongan ibu bapa yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Pengagihan sumbangan itu dibuat secara pandu lalu dari rumah ke rumah oleh Exco JKKK Kampung Masjid Jepak yang diketuai pengerusinya, Norlee Bakar bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Program inisiatif JKKK Kampung Masjid Jepak ini mendapat sokongan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip menerusi pemberian dana tahunan berjumlah RM10,000 di bawah geran peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk aktiviti tahunan jawatankuasa berkenaan.

Dalam pada itu, Talib berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau turut menyeru agar semua pihak mematuhi SOP penjarakan fizikal dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Exco JKKK Kampung Masjid Jepak bersama sebahagian penerima bantuan Program Back To School anjuran JKKK Kampung Masjid Jepak.