57 penduduk terima pampasan RM8.5 juta

SEBUYAU: Seramai 57 penduduk di sini menerima cek pampasan berjumlah RM8.5 juta. Pampasan cek tersebut adalah untuk membayar lot tanah Projek Jambatan Batang Lupar (37 orang) dan Projek Bandar Baharu Sebuyau (20 orang).

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli ll Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pampasan yang dibayar kepada penduduk adalah sebahagian daripada bayaran tanah yang diperlukan oleh kerajaan untuk membangunkan jalan raya menuju ke Jambatan Batang Lupar dan Bandar Baharu Sebuyau.

“Jika dahulu alternatif penduduk di Sebuyau adalah melalui jalan sungai, tetapi kini sudah ada jalan raya.

” Pembinaan Jambatan Batang Lupar bukan sahaja menjadi penghubung kepada penduduk, malah bakal meningkatkan sosioekonomi mereka,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Program Pemimpin Bersama Rakyat, Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Jambatan Batang Lupar (Bahagian Samarahan) dan Bandar Baru Sebuyau (Kawasan Kediaman) serta Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi Kampung Seberang Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau di sini, semalam. Awang Tengah merakamkan terima kasih kepada penerima cek pampasan kerana telah membenarkan kerajaan membangunkan tanah mereka untuk membina jalan raya menuju ke Jambatan Batang Lupar.

“Tanah yang diambil itu bukan untuk diberi kepada orang lain, malah dibayar dengan pampasan yang munasabah sebanyak RM8.5 juta kesemuanya. “Saya berharap agar penduduk jangan mudah terpedaya dengan hasutan orang luar kerana kerajaan tidak akan ambil hak yang sememangnya milik kita,” katanya.

Bagi Projek Batang Lupar, sebanyak 56 lot tanah telah digunakan dengan nilai pampasan RM5.3 juta. Sementara itu, bagi Projek Bandar Baharu Sebuyau sebanyak 22 lot tanah digunakan dengan pampasan sebanyak RM3.2 juta. Pada masa yang sama, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan turut menyerahkan 97 Surat Hak Milik Tanah kepada 77 penerima Melayu.

“Saya menasihati anda semua, agar menggunakan tanah sebaik mungkin seperti untuk pertanian, lebih-lebih lagi sekarang kita sudah ada teknologi tinggi. Jangan jual tanah, tetapi usahakan supaya hasilnya dapat dinikmati oleh anda sendiri,” jelasnya.

Turut hadir ialah Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur yang juga Adun Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Adun Beting Maro Razaili Gapor dan Adun Simunjan Alwa Dris.

Suara Sarawak