KUCHING: Seramai 576 calon di Sarawak akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang akan diadakan serentak di seluruh negara bermula 21 hingga 23 September ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak Dr. Norisah Suhaili berkata, kesemua calon yang telah mendaftar akan menduduki peperiksaan tersebut di 18 pusat peperiksaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, 13 daripadanya adalah pusat Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan (3), Sekolah Swasta (1) dan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (1).
“Sehubungan ini, semua calon hendaklah merujuk kepada jadual waktu peperiksaan SPMU
untuk mendapatkan maklumat mengenai butiran peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, jadual peperiksaan berkenaan dapat dimuat turun menerusi portal Lembaga Peperiksaan Malaysia di pautan http://p.moe.gov.my.
“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.
“Untuk maklumat lanjut, hubungi Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan di talian 082-473533 / 082-473519 atau Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan PPD masing-masing,” ujarnya.
