ARTIKEL

57,613 pelabur terima RM11.71 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pengagihan dividen interim Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bagi Tahun Kewangan berakhir 30 Jun 2024 sebanyak 2.5 sen seunit selepas penstrukturan semula dilaksanakan pada 2022.

Demikian kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan pengagihan dividen interim tersebut sambil menambah ia melibatkan pengagihan sebanyak RM11.71 juta kepada seramai 57,613 pelabur.

Katanya, jumlah tersebut dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2023 manakala pengagihan itu berdasarkan perolehan bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa.

“Prestasi ini amat memberangsangkan memandangkan Tabung ASSAR pascapenstrukturan hanya siap dilaburkan sepenuhnya pada Julai 2023,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Dividen Interim ASSAR Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2024 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange di sini, semalam.

Abang Johari menambah, setakat 31 Disember 2023 jumlah unit ASSAR meningkat daripada 100 juta unit pada awal pelancarannya kepada 468.35 juta unit, melibatkan penyertaan seramai 57,613 pelabur

. “Alhamdulillah, langkah penstrukturan semula pada 21 Oktober 2022 mula membuahkan hasil. Buktinya Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR meningkat secara konsisten kepada RM1.0854 pada 31 Disember 2023, iaitu pertumbuhan sebanyak 8.54 peratus sejak penstrukturannya.

“Untuk jumlah pendapatan kasar dijana bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2024 adalah sebanyak RM15.59 juta, dengan 49 peratus atau RM7.59 juta pendapatan faedah sekuriti berpendapatan tetap manakala 33 peratus atau RM5.14 juta merupakan keuntungan daripada penjualan ekuiti atau saham.

“Selebihnya iaitu 18 peratus atau RM2.86 juta merupakan pendapatan dividen daripada pegangan ekuiti, pendapatan faedah daripada instrumen pasaran wang dan keuntungan modal daripada penjualan sekuriti pendapatan tetap,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, setelah ditolak perbelanjaan, pendapatan bersih Tabung ASSAR untuk enam bulan tersebut adalah sebanyak RM13.29 juta.

Strategi pelaburan baharu ASSAR ujar Abang Johari, memperuntukkan sekurangkurangya 70 peratus pelaburan dalam sekuriti berpendapatan tetap berjaya mengurangkan turun naik saham daripada pasaran ekuiti yang kekal mencabar.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan mampan dan kompetitif,” katanya.

“Di samping pengagihan dividen yang cukup kompetitif ini, ASSAR merupakan satu instrumen pelaburan atau simpanan yang selamat dan berisiko rendah dengan adanya mekanisme jaminan harga minima RM1 seunit, yang merupakan ciri utama ASSAR semenjak 1998.

“Mekanisme jaminan harga minima tersebut akan terus memainkan peranan untuk mengurangkan sebarang impak kemelesetan ekonomi serta kejatuhan teruk pasaran saham terhadap modal para pelabur ASSAR.

“Dengan adanya ciri tersebut membolehkan unit ASSAR dijual balik pada harga minima RM1 seunit sepanjang tempoh jaminan – dalam apa jua keadaan ekonomi dan pasaran saham, sekali gus melindungi pelabur ASSAR daripada mengalami kerugian besar ke atas modal mereka,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pengarah Permodalan ASSAR Sdn Bhd, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Peguam Besar Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Sarawak Bhd, Datuk Saferi Ali dan Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Hasmawati Sapawi.

LAIN-LAIN BERITA

WBC 2024: 13 negara terawal sahkan penyertaan

KUCHING: Seramai 13 petinju dari negara berbeza telah mengesahkan penyertaan mereka untuk bersaing di Kejuaraan Tinju Dunia (WBC) 2024 yang dijadual berlangsung di Stadium Perpaduan,

Kuarters lama JKR terbakar

SIMANGGANG: Sebuah kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak berpenghuni terbakar awal pagi tadi. Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Muhammad Rais

IPD Kuching akan perkenal platform e-aduan

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan memperkenalkan platform e-aduan untuk memudahkan masyarakat menyampaikan aduan jenayah secara dalam talian kepada pihaknya. Ketua Polis Daerah

BERITA TERBARU

WBC 2024: 13 negara terawal sahkan penyertaan

KUCHING: Seramai 13 petinju dari negara berbeza telah mengesahkan penyertaan mereka untuk bersaing di Kejuaraan Tinju Dunia (WBC) 2024 yang dijadual berlangsung di Stadium Perpaduan,