60 anggota polis Balai Sibu Jaya dicalit, empat balai polis diarah jalani saringan

SIBU: Seramai 60 anggota polis dari Balai Polis Sibu Jaya serta warga kerjanya telah menjalani saringan ujian calitan Covid-19 yang diadakan di Klinik Kesihatan Sibu Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, calitan itu diadakan di pekarangan klinik pada sesi pagi dan petang tadi.

“Calitan yang diadakan di perkarangan klinik dijalankan dengan lancar,” tambahnya.

Sebelum ini, seramai 96 anggota polis Balai Polis Sungai Merah juga telah menjalani calitan pada 22 Februari lalu di pekarangan balai tersebut setelah dua anggota polis trafiknya disahkan positif Covid-19.

Berikutan kejadian itu, Stanley mengarahkan semua anggota polis di Balai Polis Sibu Jaya, Balai Polis Lanang dan Balai Polis Sibu Sentral untuk menjalani ujian calitan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh juga telah mengunjungi Sibu Jaya pada pagi ini untuk memantau sekatan jalan raya (SJR) di rumah pangsa dan perumahan Town Villa yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 12 Februari lalu sehingga 4 Mac depan.

PKPD itu dilanjukan hingga 4 Mac untuk membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan calitan pusingan kedua atau kali kedua kepada penduduknya.

Sehingga semalam, sebanyak 387 kes positif telah dikesan di rumah pangsa sementara perumahan Town Villa telah merekodkan 50 kes.